Vietnam Utara Viet_Minh

Berikutan kekalahan di pertempuran Điện Biên Phủ, pihak Perancis mula berunding untuk meninggalkan Vietnam. Oleh sebab perjanjian damai yang diselesaikan di Persidangan Geneva di Geneva, Switzerland, Vietnam dibahagi kepada Vietnam utara dan Vietnam Selatan pada Selarian ke-17 sebagai langkah sementara sehingga pilihan raya penyatuan diadakan pada tahun 1956. Peralihan pentadbiran sivil Vietnam Utara kepada Việt Minh dijalankan pada 11 Oktober 1954. Hồ Chí Minh dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam Utara yang bakal ditadbir sebagai negara sosialis. Ngô Đình Diệm yang dahulunya dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam Selatan oleh Maharaja Bảo Đại, kemudiannya memegang kuasa terhadap Vietnam selatan. Dalam kata-kata Presiden Eisenhower dari Amerika Syarikat:

Adalah diakui secara umum bahawa seandainya pilihanraya diadakan, Ho Chi Minh akan dijadikan Perdana Menteri. Malang sekali, keadaan diburukkan lagi oleh kepimpinan serba tidak wujud yang ditunjukkan Ketua Negara Vietnam, Bảo Đại yang selaku ketua negara itu, memilih untuk meluangkan kebanyakan masa baginda di spa-spa Eropah dan bukannya berada di tanah air sendiri untuk memimpin tentera baginda untuk menentang kuasa Komunisme.[1]

Vietnam Selatan dan penyokong utamanya Amerika Syarikat tidak pernah menandatangani perjanjian 1954 tetapi pernah bersetuju untuk menghormati syarat-syaratnya. Bagaimanapun, Vietnam Selatan dengan bantuan Amerika Syarikat kemudiannya enggan mengadakan pilihan raya penyatuan atas sebab bahawa Hồ Chí Minh tidak boleh dipercayai kerana gabungan beliau dengan Komunisme.